PAKUTEKAN VS MERAHJAUH

Ahad, 21 September 2008

MALAM 27 PUASA...

"THE NIGHT"
by Daneil F

Kekiri..kekanan, menungging, meniarap, menyembam, kira dari satu sampai 1000 semua si Munir dah buat, tapi matanya masih lagi tak mahu tidur, entah mungkin cendol semalam yang diteguknya sekali gus waktu sungkai (berbuka puasa bagi kawan-kawan semenanjung) petang tadi memberikan Munir tenaga luar biasa.

Malam ni masuk hari ke 27 puasa, ramai orang percaya malam ini adalah malam Lailatul Qadar kebetulan pula hujan petang tadi membuatkan suasana malam ini sungguh tenang, nyaman dan aman. Dah berapa kali sahabat, televison, radio dan sebagainya berpesan sahur itu ada berkatnya, tapi Munir tak pernah peduli, baginya makan pukul 1 pagi sebelum tidur pun dah kira sahur. Pusingan dan nunggingan serta tiarapan dan juga sembamam kali ke 316 membuatkan Munir mengalah “memang tak boleh tidur ni” bisik hatinya. Munir lansung kedapur untuk bersahur buat pertama kalinya setelah 27 hari orang lain berpuasa.

 Di dapur Munir makan sambil menonton tv, tak de cerita yang menarik selain dari video klip lelaki berjubah putih dan berlipstik dimainkan secara berulang-ulang, selesai makan Munir mencari aktiviti yang dapat menghilangkan kebosanannya. Filler tv mengenai malam Lailatul Qadar menarik minatnya, dia baru teringat malam ini adalah malam yang ke 27, hati nya berbisik “ malam ke 27!!, aku tak dapat tidur dan buat pertama kalinya aku bersahur..emmmm strange”. Munir bangun dan meninjau dari tingkap rumahnya, di luar suasana agak sunyi dan tenang “ malam Lailatul Qadar….mungkin” dalam fikiranya yang lansung menggerakkan hatinya  untuk ke Surau.

 Jarak rumah Munir ke surau lebih kurang dari sini ke…….. sana, 10 minit dengan kapcai yang baru di belinya seminggu lalu. Munir yang sudahpun diluar teringat akan keberkatan berwuduk sebelum ke Surau. Setelah memastikan segala ciri-ciri keselamatan menunggang motosikal di praktikkan, Munir dengan Selawat dan Bismillah menuju ke Surau yang dah lama sangat dia tak pergi, mudahan saja Munir masih ingat jalan kesana.

Sepanjang perjalanan memang dia rasa lain, dingin pagi itu lembut, suasana tenang, sunyi, bunyi kapcainya juga samar, suasan aman, langit yang gelap seperti terang. “lain betul” kata hatinya, kata –kata ustaz mengenai lailatul Qadar pada malam 27 meremangkan bulu tengkoknya. Bagi memastikan yang terang tersebut bukan datang dari lampu kapcainya dia menutup lampu “teranglah..tak nampak bulan pun”. Dan sewaktu mendongak kelangit, kelopak mata Munir mula bergenang air mata………….menghembus perlahan nafas yang menyerap senak kerandutnya yang terhentak takkala tayar kapcainya tersadung lopak.

Sampai di Surau didapati tiada siapa disana walaupun lampu surau menyala, Munir menongkat motornya lalu masuk ke Surau bersembahyang sunat. Sewaktu bersembahyang tersebut dia merasakan ada kelainan. Sewaktu rukuk tadi terasa payah mengangkat kepalanya seperti menyuruhnya terus menghayati rukuk dan sewaktu sujud pula dirasakan seperti dahinya tidak menyentuh lantai, remangan bulu romanya semakin ketara “  inikah petanda malam yang mulia itu” Munir sedar dia perlu kusyuk dan dia cuba membaca ayat-ayat  sambil hatinya menerangkan maksud ayat yang dibacanya, pun begitu dia merasakan suara yang sudah dikuatkan itu masih terdengar jauh.

Hampir selesai sembahyang sunat tersebut dia terasa seperti ada orang dibelakangnya, seperti ada suara tetapi sayup, peluh dinginnya mula bersinar di dahi, dia gementar, mungkin ini cubaan kata hatinya lagi. Suara-suara tersebut masih kedengaran walaupun jauh, dengan perlahan dia memberikan salam yang pertama, sempat dijelingnya tapi tidak kelihatan sesiapa disitu, di lanjutkan kesalam kedua lansung menjeling sedikit dengan gementar, juga tidak kelihatan sesiapa disana. Perasaan cemas mula menyelubungi. Munir lalu bersujud semula, seperti tadi, kali ini ditonyohkan sedikt dahinya namun tak terasa carpet empuk disurau itu..dahinya seperti di awangan tergantung sedikit membuatkan badannya juga terasa di awangan, dengan hati yang tawaduk Munir mula berdoa dalam sujudnya agar diberikan keberkatan dan kekuatan menghadapi cubaan malam istimewa ini. Terasa berat sekali sewaktu dia bangun dari sujud seolah-olah menyuruhnya terus bersujud dan berdoa. Suara-suara tersebut datang lagi Munir menyedut nafas dalam-dalam, didalam hatinya berkata “aku mesti menghadapinya” dia membacakan beberapa potong ayat pendek dan mengumpul kekuatan lalu dengan jeritan ALLAHUAKBAR Munir memusingkan dirinya dengan  satu renjatan……..

Munir terkejut!!! begitu juga 3 orang kanak-kanak dibelakangnya yang  dari tadi menahan ketawa. Lebai  Hj Kadim(berasal dari  Perak dan dah menetap di sini selama 20 tahun) yang kelegaan dari melepaskan hajat masuk ke surau untuk mengazankan subuh terlopong sambil beristihgfar melihat Munir, Munir jadi kaget dengan apa yang berlaku dia melihat kekiri dan kanan dan dari cermin almari di saf yang terakhir Munir melihat dirinya yang masih berHELMET (topi keledar kata orang semananjung) serentak kedengaran suara Lebai Hj Kadim  berkata dalam loghat Brunei campur Perak…. Lai Laaaa atu keledar aaaaa…..

 

Inspired by “Helmet” by Tauffek Ilyas

Tiada ulasan: